Pelajar Patah Tangan Dibelasah Kawan ...
7 March 2011
Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Simpang Empat, dekat sini, patah tangan kiri akibat dibelasah
rakan
sekolahnya pada Jumaat lalu. Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu,
Muhamad Shahfaly Anoar, 15, patah lengan kiri, tulang bahu kiri terkehel
dan luka di pipi kiri akibat dibelasah tiga pelajar dan dua daripada
mereka adalah rakan sekelasnya.
Menceritakan kejadian itu, pelajar itu berkata dia sedang mengikuti
kelas Kemahiran Hidup apabila ditarik keluar oleh seorang pelajar dan
membawanya kepada 10 pelajar lain yang menunggu di bahagian bawah
bangunan sekolah. Bagaimanapun, katanya hanya tiga daripada mereka yang
bertindak memukulnya.
"Saya hanya mampu menahan kesakitan dan setelah dipukul ada rakan
membantu membawa saya masuk ke kelas," katanya ketika ditemui di
rumahnya di Kampung Simpang Empat Syed Kassim hari ini. Katanya namun
dia tidak memberitahu guru kelas mengenai kejadian itu apabila masuk
semula ke dalam kelas.
Muhamad Shahfaly berkata dia percaya motif dirinya dipukul disebabkan
dendam kerana selaku ketua tingkatan dia sering melaporkan kepada guru
mengenai masalah disiplin pelajar kelasnya. Bapa pelajar itu, Anoar
Ahmad, 38, berkata beliau terkejut melihat keadaan anaknya yang sedang
menahan kesakitan semasa menjemputnya kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya beliau kemudian terus memaklumkan kepada pihak sekolah dan
membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat pukul 7.30 malam. "Saya
membawa anak saya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima
rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati lengan kiri anak saya patah,"
katanya. Muhamad Shahfaly menerima rawatan di HTF selama satu hari dan
dibenarkan keluar pada Sabtu dan diberi cuti sakit selama 11 hari.
Katanya itu merupakan kali kedua anaknya dibelasah oleh pelajar
sekolah itu, dan kali pertama pada tahun lepas tetapi anaknya tidak
mengalami kecederaan serius. "Saya berasa terkilan dan tidak berpuas
hati dengan pentadbiran sekolah danguru harus bertanggungjawab ke atas
kejadian," katanya yang mahu menukarkan anaknya ke sekolah
lain.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin
ketika dihubungi berkata polis sudah menahan reman empat pelajar bagi
membantu siasatan kes itu.
- Kangar,6 Mac 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia).
iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Fikirkan
Jalankanlah amanah sebagai pelajar
dengan sebaiknya iaitu menuntut ilmu. Elakkan gejala-gejala negatif
seperti gangsterisme, ponteng sekolah dan lain-lain.